UCAPAN BAJET TAHUN 2008 Oleh YAB DATO’ SERI ABDULLAH BIN HJ. AHMAD
BADAWI PERDANA MENTERI DAN MENTERI KEWANGAN KETIKA MEMBENTANG RANG
UNDANG-UNDANG PERBEKALAN (2008) DI DEWAN RAKYAT PADA 7 SEPTEMBER 2007
‘BERSAMA MEMBINA NEGARA DAN MENIKMATI KEMAKMURAN’
Tuan Yang DiPertua,
Saya mohon mencadangkan supaya suatu Rang Undang-undang bertajuk “Suatu
Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Yang
Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2008 dan bagi memperuntukkan
wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu” dibaca bagi kali kedua.
PENDAHULUAN
Bismillahir Rahmanir Rahim
Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan izin
dan kurniaNya, saya dapat membentangkan Bajet Negara bagi tahun 2008 di
Dewan yang mulia ini. Tahun 2007 ini merupakan tahun yang amat besar
ertinya kepada kita semua kerana kita sama-sama menyambut ulang tahun
ke-50 kemerdekaan negara. Bajet 2008 adalah Bajet pertama dalam kita
melangkah masuk fasa 50 tahun kedua sebagai sebuah negara yang merdeka
dan berdaulat.
Dalam lima dekad pertama kemerdekaan, negara telah mencapai kemajuan
yang membanggakan dalam suasana aman dan damai. Dalam kita menyusun
langkah untuk 50 tahun seterusnya, adalah penting untuk kita
memanfaatkan sepenuhnya kepelbagaian yang wujud di negara kita untuk
terus dibina satu kekuatan agar kita teguh bersatu bergerak mencapai
matlamat menjadi sebuah negara maju.
Kualiti hidup rakyat hari ini telah jauh bertambah baik berbanding
dengan lima puluh tahun yang lalu. Pendapatan per kapita telah
meningkat sebanyak 26 kali ganda daripada 790 ringgit pada tahun 1957
kepada 20,840 ringgit pada tahun 2006. Lima puluh tahun dahulu, lebih
separuh rakyat di negara ini hidup dalam kedaifan dan kemiskinan, kini
kadar kemiskinan telah berjaya dikurangkan di bawah enam peratus.
Dalam tempoh 50 tahun, negara berjaya mencapai pertumbuhan ekonomi yang
amat membanggakan, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
mencatatkan peningkatan 6.3 peratus setahun. Pertumbuhan ini dicapai
dalam suasana inflasi yang rendah dan guna tenaga penuh. Dalam tempoh
lima dekad, negara telah menghadapi beberapa krisis. Namun, dengan
gandingan padu antara kepimpinan dan rakyat, kita berjaya meletakkan
semula ekonomi negara di atas landasan yang kukuh. Pertumbuhan ekonomi
dijangka terus mantap, dengan pertumbuhan bagi tahun 2007 pada paras 6
peratus.
Asas ekonomi terus bertambah kukuh. Semenjak 1998, akaun semasa
imbangan pembayaran negara telah mencatat lebihan selama sembilan tahun
berturut-turut. Pada tahun 2006, lebihan akaun semasa adalah 16.8
peratus daripada Keluaran Negara Kasar. Kadar tabungan negara terus
kekal tinggi pada tahap 37 peratus daripada KDNK. Kemasukan pelaburan
langsung asing terus mapan. Kita telah berjaya membina kemudahan
infrastruktur bertaraf dunia berupaya menampung pembangunan
perindustrian negara.
BAJET 2008
Tahun 2008 merupakan tahun ketiga pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan yang berteraskan Misi Nasional, seperti berikut:
Pertama: Meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi;
Kedua: Meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta memupuk minda kelas pertama;
Ketiga: Menangani masalah ketidakseimbangan sosioekonomi secara membina dan produktif;
Keempat: Meningkatkan tahap dan kemapanan kualiti hidup; dan
Kelima: Mengukuhkan keupayaan institusi dan pelaksanaan.
Bajet 2008 bertemakan Bersama Membina Negara dan Menikmati Kemakmuran,
mencerminkan hasrat Kerajaan untuk mempastikan kekayaan negara terus
berkembang dan dapat dinikmati oleh semua rakyat. Hanya dengan ini,
kemajuan negara akan menjadi lebih bermakna, dengan semua rakyat hidup
dalam harmoni.
Dengan itu, Bajet ini akan memberi tumpuan kepada tiga strategi utama:
Pertama - Mempertingkat daya saing negara;
Kedua - Memperkasa pembangunan modal insan; dan
Ketiga - Menjamin kesejahteraan rakyat.
STRATEGI PERTAMA: MEMPERTINGKAT DAYA SAING NEGARA
Menyediakan Persekitaran Kondusif Bagi Pelaburan Swasta
Pelaburan swasta terus menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi negara.
Alhamdulillah, aktiviti pelaburan swasta dalam tempoh Rancangan
Malaysia Kesembilan semakin rancak, dengan kadar pertumbuhan tujuh
peratus pada tahun 2006, berbanding dengan kadar 1.2 peratus setahun
sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Kelapan. Pertumbuhan pelaburan
swasta dijangka mencapai 7.1 peratus tahun ini, satu kadar yang
memberangsangkan. Kerajaan yakin momentum pertumbuhan ini akan terus
meningkat pada tahun-tahun akan datang.
Dasar Cukai Yang Kompetitif
Kerajaan bertekad untuk menggalak pertumbuhan pelaburan swasta dengan
menyediakan persekitaran kondusif. Satu langkah penting ke arah ini
ialah dengan mempastikan cukai korporat terus kompetitif. Sistem cukai
korporat masa ini berasaskan sistem imputasi. Di bawah sistem imputasi,
cukai dikenakan ke atas keuntungan di peringkat syarikat dan sekali
lagi ke atas dividen di peringkat pemegang saham, setelah mengambil
kira cukai yang dibayar syarikat. Oleh itu, sistem ini melibatkan kos
pentadbiran yang signifikan untuk mempastikan pematuhan terhadap cukai
yang perlu dibayar di setiap peringkat.
Untuk menjadikan pentadbiran cukai korporat lebih cekap dan mudah,
Kerajaan akan melaksanakan sistem cukai single-tier, berkuatkuasa mulai
tahun taksiran 2008. Di bawah sistem single-tier, keuntungan hanya
dikenakan cukai di peringkat syarikat, manakala dividen yang diterima
dikecualikan daripada cukai. Dengan sistem single-tier, dividen dapat
dibayar dengan lebih mudah. Tempoh peralihan bagi sistem baru ini ialah
enam tahun untuk memastikan kelicinan perlaksanaan.
Semasa pembentangan Bajet 2007 tahun lalu, saya telah mengumumkan
pengurangan cukai korporat daripada 28 peratus kepada 27 peratus bagi
tahun 2007 dan 26 peratus bagi tahun 2008. Bagi meningkatkan lagi daya
saing negara dan mempercepatkan pertumbuhan pelaburan swasta, saya
mencadangkan kadar cukai korporat terus dikurangkan kepada 25 peratus
pada tahun 2009. Saya yakin langkah ini akan memberi kesan limpahan ke
atas pertumbuhan ekonomi serta mewujudkan lebih banyak peluang
pekerjaan. Dengan kadar cukai korporat yang lebih rendah dan pengenalan
sistem single tier, lebih banyak dividen dapat diagihkan kepada
pemegang saham.
Penambahbaikan Sistem Penyampaian Perkhidmatan Awam
Perkhidmatan awam yang efisien adalah kriteria penting dalam
menyediakan persekitaran kondusif bagi menarik pelabur swasta. Kerajaan
telah mengambil pelbagai langkah bagi mempastikan keberkesanan sistem
penyampaian perkhidmatan awam, termasuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas
Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH). Pasukan ini, yang terdiri daripada
wakil sektor awam dan sektor swasta, menumpu kepada aspek-aspek yang
dapat meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam serta menambah baik daya
saing negara. Saya gembira dalam enam bulan pertama penubuhan PEMUDAH,
beberapa penambahbaikan telah pun dilaksanakan. Antaranya:
Pertama: Memendekkan tempoh pembayaran balik cukai pendapatan
dari enam bulan ke 14 hingga 30 hari bagi penghantaran menerusi sistem
e-filing;
Kedua: Meluluskan pendaftaran perniagaan baru dengan serta merta berbanding tiga hari sebelum ini; dan
Ketiga: Mempercepatkan tempoh kelulusan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar dari tiga bulan ke lima minggu.
Penglibatan secara langsung sektor swasta dalam PEMUDAH telah
membolehkan penyelesaian dan penambahbaikan sistem penyampaian yang
lebih berkesan. Antara cadangan yang dikemukakan oleh PEMUDAH ialah
langkah untuk mempercepatkan urusan pindah milik hartanah. Selaras
dengan cadangan ini, saya ingin mengumumkan bahawa mulai 1 Januari
2008, taksiran duti setem boleh dibuat berdasarkan penilaian pihak
swasta. Dengan ini, proses pindah milik boleh diteruskan sementara
menunggu penilaian muktamad Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta.
PEMUDAH juga sedang mengkaji prosedur pengeluaran lesen dan permit
perniagaan dengan tujuan untuk mengurangkan bilangannya dan memendekkan
tempoh pemprosesan melalui ICT. Usaha ini akan bermula dengan lesen
serta permit bagi sektor pembuatan dan perhotelan. Selain itu, bilangan
borang yang digunakan oleh jabatan kerajaan akan dikurangkan. Sebagai
langkah permulaan, Jabatan Kastam akan menggabungkan 16 borang kastam
kepada empat borang berkuatkuasa 1 Januari 2008.
Penglibatan sektor swasta dalam pelaksanaan Sistem Perakuan Siap dan
Pematuhan (CCC) telah menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan
awam. Dalam perkara ini, Kerajaan telah menggunakan prinsip
akauntabiliti dan saling mempercayai bagi mengiktiraf sijil pengesahan
yang dikeluarkan oleh profesional swasta. Memandangkan tanggung jawab
lebih besar golongan profesional, dan bagi melindungi kepentingan
pengguna, Kerajaan mencadangkan potongan cukai diberikan ke atas
premium insurans indemniti profesional. Selain itu, untuk meningkatkan
akauntabiliti, Kerajaan mencadangkan semua perkhidmatan profesional dan
juru perunding adalah tertakluk kepada cukai perkhidmatan.
Memudahkan Kemasukan Pekerja Berkemahiran Tinggi
Mutu modal insan, terutamanya golongan profesional dan berkemahiran,
adalah faktor kritikal bagi menarik pelaburan yang berkualiti. Dengan
itu, di samping memperkasa modal insan tempatan, Kerajaan akan
menggalak dan memudahkan kemasukan pekerja asing berkemahiran yang akan
menambah nilai kepada ekonomi negara. Untuk ini, Jabatan Imigresen akan
memendekkan tempoh memproses permit kerja kepada tujuh hari untuk
pekerja berkemahiran berbanding dengan 14 hari sebelum ini.
Jabatan Imigresen juga akan memperkenalkan satu kategori visa baru bagi
ahli perniagaan dan profesional asing yang mempunyai tempoh sah lebih
panjang. Di samping itu, ciri-ciri lain bagi memudahkan proses
kemasukan akan diperkenalkan. Semua langkah ini akan berkuatkuasa 1
Januari 2008.
Bilangan syarikat multinasional yang menubuhkan pejabat serantau di
Malaysia kian meningkat. Mereka memerlukan kakitangan yang berkemahiran
tinggi untuk kerap berulang alik ke negara ini. Adalah penting
kemasukan mereka ke negara ini dipermudahkan. Oleh yang demikian, mulai
1 Januari 2008, proses mendapatkan pas lawatan profesional bagi pekerja
berpengetahuan akan dipercepatkan dengan membolehkan permohonan dibuat
di pejabat kedutaan dan konsulat Malaysia di luar negara.
Kerajaan telah pun memperkenalkan multiple entry visa (MEV) bagi
warganegara China dan India. Pada masa ini, visa tersebut hanya boleh
dipohon di negara asal mereka. Kerajaan telah membuat keputusan supaya
warganegara China dan India dibenarkan memohon MEV dari mana-mana
tempat mereka bermastautin atau bekerja. Sebagai permulaan, kemudahan
ini akan diperkenalkan di pusat kewangan antarabangsa, seperti New
York, London, Hong Kong dan Singapura, berkuatkuasa 1 Januari 2008.
Meningkatkan Daya Saing Pasaran Modal
Pasaran modal negara telah berkembang pesat dan merupakan antara sumber
modal yang penting bagi sektor korporat. Perkembangan pesat ini telah
menyumbang kepada peningkatan keyakinan pelabur, terutamanya pelabur
asing. Keyakinan ini jelas dicerminkan oleh prestasi Bursa Malaysia.
Indeks Komposit Kuala Lumpur melonjak semenjak awal tahun ini, dan
mencecah 1,299 mata pada 6 September 2007. Nilai pasaran modal juga
telah mencapai satu trilion ringgit. Kini, pasaran modal negara
merupakan antara pasaran modal yang terbesar dan aktif di Asia
Tenggara.
Antara faktor yang menyumbang kepada prestasi pasaran saham ialah
kejayaan Program Transformasi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC). Modal
pasaran 45 syarikat GLC telah meningkat sebanyak 129 bilion ringgit
iaitu peningkatan sebanyak 61 peratus semenjak Program Transformasi GLC
yang telah saya lancarkan pada Mei 2004. Transformasi GLC menghasilkan
faedah kepada pelbagai pihak, termasuk pelanggan, pekerja, pembekal,
komuniti perniagaan Bumiputera serta Kerajaan. Syarikat sektor swasta
lain juga telah berjaya melalui proses transformasi masing-masing.
Dalam melangkah ke tahun 2020, saya yakin beberapa syarikat swasta,
termasuk GLC, akan muncul sebagai juara serantau, setanding dengan
syarikat bertaraf dunia.
Memperkukuh Tadbir Urus Korporat
Tadbir urus korporat yang baik merupakan asas keyakinan pelabur
terhadap pasaran modal negara. Saya mengalu-alukan tindakan tegas
Suruhanjaya Sekuriti (SC) dalam menangani beberapa kes penyelewengan
perakaunan sektor korporat. Semua pihak perlu melipat gandakan usaha
bagi memantapkan lagi tahap tadbir urus korporat. Ke arah ini, Kerajaan
akan menubuhkan Lembaga Pengawasan Perakaunan Syarikat Awam di bawah
kawal selia SC. Lembaga ini akan bertanggungjawab untuk mengawas
juruaudit syarikat awam ke arah meningkatkan mutu dan kesahihan audit
ke atas penyata kewangan syarikat awam.
Selain itu, Kod Tadbir Urus Korporat sedang dipinda untuk meningkatkan
kualiti lembaga pengarah syarikat awam tersenarai dengan menetapkan
kriteria kelayakan pengarah, jawatankuasa audit dan audit dalaman
syarikat awam tersenarai. Pindaan ini akan berkuatkuasa pada 1 Oktober
2007. Untuk meningkatkan tadbir urus jawatankuasa audit, pengarah
eksekutif tidak dibenar menganggotainya. Di samping itu, penubuhan
fungsi audit dalaman yang efektif diwajibkan bagi semua syarikat
tersenarai. Lembaga Pengarah perlu mempastikan skop tanggungjawab,
seperti yang ditetapkan oleh SC, dilaksanakan oleh audit dalaman dengan
berkesan.
Bagi syarikat dan syarikat perantara yang menunjukkan tahap tadbir urus
yang tinggi, SC akan memberi status ‘laluan hijau’. Ini termasuk proses
kelulusan yang lebih cepat bagi cadangan korporat mereka serta
memanjangkan tempoh lesen daripada satu tahun kepada tiga tahun bagi
perantara kewangan di peringkat syarikat dan dua tahun bagi individu.
Menggalakkan Penggabungan dan Pengambilalihan
Kerajaan berhasrat untuk meningkatkan kualiti syarikat tersenarai di
Bursa Malaysia. Untuk itu, pengecualian duti setem telah diberi ke atas
surat cara penggabungan dan pengambilalihan (M&A) syarikat
tersenarai yang diluluskan oleh SC sehingga 31 Disember 2007. Bagi
menggalakkan lebih banyak syarikat tersenarai melaksanakan M&A,
pengecualian ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2010.
Kini terdapat lebih daripada seribu vendor dalam sektor petroleum dan
gas yang dilesenkan oleh PETRONAS. Walau bagaimanapun, kebanyakannya
hanya tertumpu kepada pasaran domestik. Syarikat-syarikat tersebut
perlu bergabung untuk menjadi lebih besar dan berdaya saing di
peringkat global. Oleh itu, Kerajaan mencadangkan pengecualian duti
setem diberi ke atas semua surat cara bagi penggabungan syarikat vendor
PETRONAS yang dilaksanakan sebelum 31 Disember 2010.
Syarikat Pengurusan Pelaburan
Bagi menggalakkan industri pengurusan pelaburan, langkah-langkah berikut akan dilaksanakan:
Pertama: Syarikat pengurusan dana dan syarikat pengurusan REITs
dibenar mempunyai pegangan asing sehingga 70 peratus, dengan syarat
pegangan Bumiputera tidak kurang daripada 30 peratus; dan
Kedua: SC akan memudahkan proses pelesenan serta segala urusan
di antara pemohon dengan jabatan kerajaan yang lain bagi mempercepatkan
proses penubuhan operasi syarikat pengurusan dana di Malaysia.
Struktur Komisen Yang Berdaya Saing
Untuk meningkatkan penyertaan pelabur runcit secara langsung dalam
dagangan saham dan bagi menggalakkan penggunaan teknologi dalam pasaran
modal, kadar komisen bagi dagangan internet dan transaksi tunai secara
upfront boleh dirundingkan sepenuhnya. Langkah ini akan mengurangkan
lagi kadar komisen. Di samping itu, yuran penjelasan akan dikurangkan
daripada 0.04 peratus kepada 0.03 peratus, dengan yuran maksimum
sebanyak seribu ringgit. Caj minima bagi transaksi pembrokeran
ditetapkan pada kadar baru 40 ringgit bagi setiap transaksi.
Langkah-langkah ini akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2008.
Menjadikan Malaysia Pusat Kewangan Islam Antarabangsa
Selaras dengan objektif Malaysia International Islamic Financial Centre
(MIFC) untuk menjadikan Malaysia sebuah pusat kewangan Islam
antarabangsa, Kerajaan akan memperkenalkan beberapa langkah, seperti
berikut:
Pertama: Membenarkan syarikat pengurusan dana Islam memiliki sehingga 100 peratus pegangan asing;
Kedua: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menyalurkan
dana sebanyak 7 bilion ringgit untuk diuruskan oleh syarikat pengurusan
dana Islam;
Ketiga: Membenarkan keseluruhan aset yang diuruskan oleh syarikat pengurusan dana Islam dilaburkan di luar negara; dan
Keempat: Memberi pengecualian cukai pendapatan kepada syarikat
pengurusan dana ke atas semua pendapatan fi yang diterima berkaitan
aktiviti pengurusan dana Islam sehingga tahun taksiran 2016.
Dalam konteks membangunkan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam
antarabangsa, penyertaan pakar terkemuka antarabangsa di semua bidang
kewangan Islam adalah penting. Dengan itu, Kerajaan mencadangkan
pengecualian cukai pendapatan diberi kepada juru perunding bukan
pemastautin yang mempunyai kepakaran dalam kewangan Islam.
Menggalakkan Pelaburan Dari Timur Tengah
Untuk menarik pelaburan dari Timur Tengah, Kerajaan telah menyediakan
insentif cukai bagi syarikat broker saham sedia ada untuk mewujudkan
anak syarikat pembrokeran Islam. Bagi meneruskan usaha menggalakkan
aliran masuk pelaburan dari Timur Tengah ke Malaysia, tiga lesen baru
broker saham akan ditawarkan kepada syarikat terkemuka yang boleh
menarik dana dan menjadi perantara bagi aliran perniagaan dan urus
niaga dari Timur Tengah.
Industri Takaful
Industri takaful yang diwujudkan semenjak tahun 1985, telah berkembang
dan kini mempunyai aset bernilai 7.6 bilion ringgit. Untuk meningkatkan
lagi perniagaan Takaful, Kerajaan mencadangkan untuk menambah baik
layanan cukai, termasuk membenarkan potongan cukai ke atas perkongsian
keuntungan yang diagihkan.
Meningkatkan Daya Saing Labuan Sebagai Pusat Kewangan Luar Pesisir
Dalam menghadapi persekitaran global yang lebih kompetitif, Kerajaan
perlu mempastikan Pusat Kewangan Antarabangsa Luar Pesisir Labuan terus
berdaya saing. Para pelabur di Labuan menjalankan pelbagai perkhidmatan
kewangan dan memerlukan layanan cukai yang lebih fleksibel. Dengan ini,
Kerajaan mencadangkan syarikat luar pesisir Labuan diberi pilihan untuk
dikenakan cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967, sebagai tambahan
kepada pilihan semasa.
Merangsang Sektor Hartanah
Untuk menggalakkan sektor pembinaan hartanah, saya telah mengumumkan
baru-baru ini pengecualian cukai keuntungan harta tanah. Bagi terus
mempergiatkan sektor hartanah, terutamanya perumahan, Kerajaan
mencadangkan pengecualian 50 peratus duti setem diberi ke atas surat
cara pindah milik bagi sebuah rumah yang tidak melebihi 250,000 ringgit
seunit. Langkah ini akan mengurangkan kos pembelian sebuah rumah
sehingga 2,000 ringgit.
Kerajaan berusaha untuk terus meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam
sektor hartanah. Untuk ini, Pelaburan Hartanah Bumiputera Berhad (PHBB)
telah memperoleh beberapa hartanah di lokasi strategik untuk
dibangunkan sebagai projek komersil bernilai tinggi. Antara projek
komersil ialah Penang Sentral yang merupakan projek terminal
pengangkutan dan logistik bersepadu di Wilayah Ekonomi Koridor Utara.
Di samping itu, satu dana permulaan bernilai 400 juta ringgit telah
diwujudkan oleh PHBB bagi meningkatkan pelaburan hartanah Bumiputera di
Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI).
Dalam Bajet 2007, dana pelaburan strategik WPI telah ditubuhkan dengan
peruntukan permulaan sebanyak 200 juta ringgit, sebagai pemangkin
pelaburan baru dalam sektor keutamaan di WPI. Dana ini telah berjaya
mendapat komitmen sektor swasta untuk melabur lebih satu bilion ringgit
untuk projek pendidikan, seperti universiti swasta. Kerajaan akan
menyediakan peruntukan tambahan sebanyak 100 juta ringgit, terutamanya
untuk menarik pelaburan berkaitan perkhidmatan kesihatan.
Sektor Pertanian
Teras utama pembangunan sektor pertanian ialah untuk menjadikan sektor
ini salah satu sumber utama pertumbuhan ekonomi negara. Untuk tujuan
ini, sebanyak 6.5 bilion ringgit diperuntukkan bagi sektor pertanian.
Antara program yang akan dilaksanakan ialah meningkatkan pengeluaran
padi, menggalakkan penanaman florikultur, herba dan rempah ratus. Bagi
sub sektor perikanan, peruntukan disediakan untuk meningkatkan hasil
tangkapan ikan dan pengeluaran produk industri perikanan serta
membangunkan industri akuakultur di bawah 39 projek berimpak tinggi.
Peruntukan juga disediakan untuk pembangunan industri ternakan haiwan.
Di samping itu, beberapa sumber pertumbuhan baru dalam sektor pertanian
telah dikenal pasti untuk dimajukan, seperti projek perintis
pemprosesan minyak kelapa dara (virgin coconut oil), pengkomersilan
produk nira nipah dan penternakan baka Kambing Boer. Peruntukan juga
akan disediakan bagi projek perintis penghasilan baja organik,
penanaman menggunakan teknik penggabungan pembajaan dan pengairan serta
pelaksanaan mekanisasi dan automasi untuk pekebun kecil.
Sektor Bioteknologi
Bioteknologi akan terus dibangunkan melalui penyediaan infrastruktur
dan kemudahan teknologi bagi memupuk keusahawanan dan penyertaan aktif
sektor swasta. Bagi tujuan ini, sebanyak 236 juta ringgit disediakan
dalam Bajet 2008. Antara projek yang akan dilaksanakan ialah perolehan
teknologi, pembangunan pusat penyelidikan biodiversiti dan pusat
komersialisasi bioteknologi, serta penyelidikan kompaun anti kanser.
Dalam usaha terus menggalakkan kerjasama antara syarikat bioteknologi
dan universiti tempatan, syarikat berstatus Bionexus dibenar
menggunakan makmal dan kemudahan penyelidikan di pusat-pusat universiti
tempatan. Dengan ini, keupayaan kemudahan dan makmal penyelidikan di
universiti tempatan dapat dioptimumkan.
Sektor ICT
Inisiatif Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia telah masuk ke tahun
kesebelas pelaksanaannya. Industri ICT tempatan semakin matang dan
berjaya. Sebahagian besar syarikat ICT tempatan berstatus MSC Malaysia
mempunyai produk dan perkhidmatan bertaraf dunia dan telah bersedia
untuk memasarkannya di pasaran global. Kerajaan akan menyokong usaha
ini dengan mempergiatkan aktiviti pemasaran antarabangsa untuk
membolehkan syarikat MSC Malaysia tempatan memperoleh lebih banyak
projek antarabangsa.
Dalam usaha memperhebatkan lagi promosi MSC Malaysia di persada
antarabangsa, Kerajaan akan menganjurkan Minggu ICT Dunia di Kuala
Lumpur pada Mei 2008. Pelbagai persidangan dan ekspo ICT bertaraf
antarabangsa akan berlangsung, termasuk persidangan World Congress on
IT 2008, persidangan United Nations Global Alliance on ICT for
Development dan Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa MSC. Lebih lima
ribu peserta antarabangsa dan tempatan dijangka mengambil bahagian
dalam kesemua program tersebut. Adalah diharapkan lebih banyak syarikat
ICT antarabangsa akan melabur dan bekerjasama dengan syarikat tempatan.
Pelbagai langkah akan diambil untuk menambah lagi daya tarikan
Cyberjaya sebagai Bandar Siber utama yang dapat terus menarik syarikat
teknologi bertaraf dunia. Ini termasuk pembinaan sekolah antarabangsa
dan perumahan mampu milik serta mempertingkatkan tahap keselamatan di
Cyberjaya.
Sektor Pelancongan
Program Tahun Melawat Malaysia 2007 telah berjaya menarik lebih ramai
pelancong. Sehingga Jun, seramai 10.7 juta pelancong telah melawat
Malaysia berbanding dengan 8.6 juta pelancong dalam tempoh yang sama
tahun 2006. Ini adalah pencapaian yang cemerlang. Untuk meningkatkan
lagi daya tarikan negara sebagai destinasi pelancongan utama, Kerajaan
memperuntukkan 858 juta ringgit bagi pelaksanaan pelbagai program,
termasuk penyediaan dan peningkatan kemudahan pelancongan serta
mempelbagaikan produk pelancongan. Peruntukan sebanyak 22 juta ringgit
disediakan untuk meningkatkan aktiviti homestay bagi 47 buah kampung
terpilih. Di samping itu, pembangunan projek ekopelancongan akan
dilaksanakan untuk menjana pendapatan penduduk luar bandar dan
masyarakat Orang Asli.
Menggalakkan Perkembangan Perusahaan Kecil Dan Sederhana
Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dikenal pasti sebagai peneraju
penting pertumbuhan ekonomi negara. Kerajaan telah menyediakan pelbagai
insentif untuk membangunkan sektor ini. Kerajaan sedar PKS mungkin
menghadapi kesukaran aliran tunai pada peringkat awal penubuhan. Bagi
mengurangkan beban ini, Kerajaan mencadangkan syarikat PKS diberi
fleksibiliti membayar cukai pada akhir tahun kewangan dan bukannya
secara ansuran bulanan. Kelonggaran ini adalah untuk tempoh dua tahun
mulai tarikh syarikat memulakan operasi.
STRATEGI KEDUA: MEMPERKASA PEMBANGUNAN MODAL INSAN
Tuan Yang DiPertua,
Modal insan berkualiti adalah antara faktor terpenting dalam
mempastikan Malaysia mencapai matlamat menjadi sebuah negara maju. Oleh
itu, aspek kualiti pendidikan dan latihan terus diberi penekanan.
Memperkasa Sekolah Rendah dan Menengah
Sejumlah 30 bilion ringgit disediakan bagi Kementerian Pelajaran.
Peruntukan ini turut merangkumi pelaksanaan Pelan Induk Pembangunan
Pendidikan, termasuk Program Sekolah Cemerlang, memartabat profesion
keguruan dan merapatkan jurang pendidikan di antara bandar dan luar
bandar. Untuk meningkatkan lagi kualiti dan prestasi sekolah, 60 buah
sekolah kluster akan diwujudkan dalam tahun 2008. Peruntukan berjumlah
500 ribu ringgit akan diberi bagi setiap sekolah kluster untuk tujuan
aktiviti ko-kurikulum, latihan dan pembelian peralatan pembelajaran.
Pendidikan Percuma Untuk Semua
Kerajaan komited melaksanakan langkah progresif untuk meningkatkan
akses dan mengurangkan kos pendidikan. Pada tahun lalu, saya telah
mengumumkan pemansuhan yuran peperiksaan PMR, SPM dan STPM. Sebagai
tambahan, saya ingin mengumumkan yuran peperiksaan bagi Sijil Tinggi
Agama Malaysia akan dimansuhkan. Dengan itu, yang tinggal hanya yuran
tahunan sekolah rendah dan menengah. Saya juga sukacita mengumumkan,
mulai tahun 2008, yuran sekolah ini turut dimansuhkan.
Saya juga ingin mengumumkan bahawa bermula sesi persekolahan tahun
hadapan, Skim Pinjaman Buku Teks akan diperluaskan kepada semua pelajar
tanpa mengira pendapatan isi rumah dan bilangan anak yang layak.
Peluasan Skim ini akan memberi manfaat kepada 5.7 juta pelajar
berbanding 4.5 juta pelajar pada masa ini. Dengan langkah-langkah ini,
pendidikan di negara ini adalah seratus peratus percuma.
Penyertaan pelajar secara aktif dalam kegiatan ko-kurikulum, seperti
badan beruniform, persatuan dan kelab serta sukan, adalah penting dalam
membantu pembentukan sahsiah dan membina kualiti kepimpinan pelajar.
Bagi mempastikan bahawa setiap pelajar mendapat peluang untuk
melibatkan diri di dalam aktiviti ko-kurikulum beruniform, Kerajaan
akan memberi sepasang pakaian seragam percuma bagi satu kegiatan kepada
pelajar sekolah daripada keluarga yang berpendapatan isi rumah seribu
ringgit sebulan dan ke bawah.
Memartabatkan Profesion Keguruan
Untuk mengiktiraf peranan penting guru dan memartabatkan profesion
keguruan, Kerajaan akan melaksanakan langkah-langkah berikut:
Pertama: Meningkatkan elaun guru pendidikan khas daripada 100 ringgit kepada 250 ringgit sebulan;
Kedua: Menaikkan kadar elaun guru ganti berkelulusan ijazah daripada 85 ringgit kepada 150 ringgit sehari; dan
Ketiga: Menyediakan elaun sebanyak 60 ringgit sejam bagi lepasan
ijazah dan 50 ringgit sejam bagi lepasan diploma kepada guru yang
mengajar bahasa Cina dan Tamil di sekolah kebangsaan.
Guru-guru yang telah bersara masih berupaya menyumbang kepada bidang
pendidikan. Pengetahuan dan pengalaman luas mereka harus dimanfaatkan
sepenuhnya. Untuk ini, guru-guru pesara akan diambil untuk berkhidmat
sebagai guru ganti dan tenaga pengajar untuk guru pelatih.
Peranan Badan Amal Dalam Pendidikan
Kerajaan menghargai usaha badan amanah dan pertubuhan amal yang
membiayai dan mengurus dengan baik sebilangan sekolah rendah dan
menengah. Bagi menyokong usaha tersebut, Kerajaan mencadangkan
sekolah-sekolah ini diberikan pengecualian cukai pendapatan.
Pengecualian ini akan memberi manfaat, khususnya kepada sekolah Cina
dan Tamil serta sekolah agama.
Memantapkan Pengajian Tinggi
Pada 27 Ogos lalu, Pelan Strategik Pengajian Tinggi telah dilancarkan.
Pelan tersebut bertujuan untuk mentransformasikan sektor pengajian
tinggi negara bagi menghasilkan modal insan kelas pertama serta
membangunkan institusi pengajian tinggi bertaraf dunia.
Sebanyak 12 bilion ringgit diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai projek dan program, antaranya:
Pertama: Meningkatkan aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan di empat buah Universiti Penyelidikan;
Kedua: Meningkatkan peruntukan kepada Universiti Teknologi MARA bagi mencapai sasaran 200,000 mahasiswa menjelang tahun 2010;
Ketiga: Menaik taraf serta memperluaskan Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Darul Iman dan Universiti Pertahanan; dan
Keempat: Menjenamakan semula kolej komuniti melalui penyediaan
kursus di peringkat diploma, menubuhkan kolej komuniti baru dan
menggiatkan kolaborasi dengan syarikat swasta.
Pada masa ini, lebih 90,000 orang pelajar yang ditaja oleh Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) dan MARA di universiti tempatan. Walaupun
begitu, masih terdapat kekurangan pelajar dalam beberapa bidang khusus.
Oleh itu, Kerajaan akan meningkatkan jumlah pelajar Ijazah Pertama yang
ditaja oleh JPA di universiti tempatan daripada lima ribu setahun
kepada sepuluh ribu orang pelajar mulai 2008.
Kenaikan Kadar Biasiswa
Kerajaan sedar bahawa kos sara hidup pelajar telah meningkat. Oleh yang
demikian, Kerajaan akan meningkatkan elaun sara hidup pelajar di semua
peringkat pengajian tinggi tempatan, termasuk kursus persediaan dan
kursus bahasa. Peningkatan elaun tersebut adalah di antara 23 peratus
sehingga 84 peratus. Kadar baru ini berkuatkuasa mulai semester pertama
sesi 2007. Lebih 90,000 pelajar akan mendapat manfaat daripada kenaikan
ini.
Pada masa ini, Kerajaan menaja seramai 17,000 ribu pelajar di
universiti luar negeri. Kerajaan telah pun meningkatkan elaun sara
hidup di Australia, New Zealand, Mesir dan Korea Selatan pada tahun
2006. Kini, Kerajaan akan meningkatkan elaun sara hidup pelajar di
Amerika Syarikat, United Kingdom dan Kanada sehingga 97 peratus, iaitu
hampir dua kali ganda, berkuatkuasa September 2007.
Mempertingkatkan Program Latihan dan Kemahiran
Sejumlah dua bilion ringgit telah diperuntukkan kepada pelbagai agensi
latihan kerajaan untuk meningkatkan bilangan dan kualiti pekerja
terlatih selaras dengan keperluan pasaran. Daripada jumlah tersebut,
480 juta ringgit diperuntukkan untuk program latihan GiatMARA dan
Institut Latihan Perindustrian (ILP) serta latihan kemahiran di
Institut Kemahiran Belia Negara.
Bagi meningkatkan kapasiti institusi latihan, 550 juta ringgit
diperuntukkan untuk menaik taraf politeknik dan kolej komuniti.
Sejumlah 750 juta ringgit pula diperuntukkan untuk membina sebuah Pusat
Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di Taiping dan sebuah ILP di Marang.
Peruntukan ini juga akan digunakan untuk menaik taraf ILP dan ADTEC di
seluruh negara dan untuk membina lapan buah MRSM, empat buah IKM dan 28
pusat GiatMARA.
Skop Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) akan diperluaskan.
Kelonggaran akan diberikan kepada syarikat untuk memilih program
latihan dan pendidikan lanjutan kepada kakitangan. Bagi tujuan ini,
Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad, 2001 akan dipinda untuk
membolehkan majikan:
Pertama: Mendapat bantuan kewangan bagi melatih pekerjanya
sehingga ke peringkat sarjana atau ijazah doktor falsafah, terutamanya
dalam bidang teknologi baru dan teknologi tinggi;
Kedua: Mendapat bantuan kewangan bagi melatih pekerja walaupun
majikan itu mempunyai tunggakan levi atau tunggakan faedah atas levi;
dan
Ketiga: Menyediakan peluang latihan amali di premis mereka kepada pelajar universiti atau pelatih institusi latihan.
Bagi menampung kekurangan pekerja mahir dalam sektor pembinaan,
penggunaan tabung Lembaga Kemajuan Pembangunan Industri Pembinaan
(CIDB) akan dipertingkatkan. Untuk tujuan ini, CIDB akan melaksanakan
Program Latihan Masterskills yang meliputi kemahiran dalam pengurusan
dan pembinaan fizikal. Bagi tahun 2008, seramai 50 ribu pekerja dalam
sektor pembinaan akan dilatih dalam program ini dengan kos berjumlah
seratus juta ringgit.
Pembelajaran Sepanjang Hayat
Saya sering menekankan peri pentingnya untuk kita sentiasa menambah
nilai pada diri. Bagi menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat di
kalangan rakyat Malaysia, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai
sehingga 5,000 ringgit ke atas yuran pengajian diperluaskan kepada
semua bidang di peringkat pasca ijazah.
Penyelidikan, Pembangunan dan Pengkomersilan
Kerajaan akan mempergiatkan lagi aktiviti penyelidikan, pembangunan dan
pengkomersilan, terutamanya pengkomersilan penemuan R&D tempatan.
Bagi tahun 2008, Dana Sains diperuntukkan 230 juta ringgit dan 300 juta
ringgit disediakan untuk Dana Tekno. Selain itu, 546 juta ringgit
disediakan bagi program R&D institusi penyelidikan. Untuk memudah
dan mempercepatkan pengeluaran dana R&D pertanian, sejumlah 300
juta ringgit dipindahkan daripada baki siling Dana Sains dan Dana Tekno
kepada Kementerian Pertanian.
Kerajaan akan terus menyokong aktiviti R&D dan pengkomersilan. Pada
masa ini, pembahagian royalti pengkomersilan R&D adalah 50 peratus
kepada institut penyelidikan dan baki 50 peratus dibahagi di antara
institut penyelidikan dan penyelidik. Untuk menggalakkan lebih banyak
aktiviti pengkomersilan serta untuk memberi insentif lebih baik kepada
penyelidik, kadar pembayaran royalti kepada penyelidik ditingkatkan
kepada 80 peratus dan baki 20 peratus kepada institut penyelidikan.
Pejabat Perlesenan Teknologi (TLO) telah ditubuhkan di institusi
penyelidikan, seperti SIRIM dan Universiti Sains Malaysia. Pejabat ini
didapati efektif dalam menyelaras kegiatan R&D serta perolehan
paten. Oleh itu, lebih banyak pejabat TLO akan ditubuhkan di pusat
penyelidikan dan universiti awam yang lain.
Pembangunan Modal Insan ICT
Bagi mempastikan bekalan tenaga kerja berkemahiran tinggi menepati
permintaan industri ICT, Knowledge Workers Development Institute akan
dibangunkan di Cyberjaya. Sebuah Pusat Animasi Digital MSC Malaysia
juga akan diwujudkan di Cyberjaya untuk menyokong pembangunan industri
animasi digital serta meningkatkan kepakaran tempatan dalam bidang
tersebut.
Membangun Masyarakat Berpengetahuan
Selaras dengan usaha mewujudkan ekonomi berasaskan pengetahuan dan
merapatkan jurang digital, satu sasaran utama Kerajaan adalah untuk
mencapai kadar penembusan jalur lebar 50 peratus daripada isi rumah
menjelang tahun 2010, berbanding dengan 12 peratus pada masa ini. Untuk
itu, perkongsian awam dan swasta yang efektif adalah perlu untuk
mempercepatkan pelaksanaan peluasan jalur lebar. Satu langkah yang akan
dilaksanakan ialah menggalakkan pemaju menyediakan infrastruktur
telekomunikasi di kawasan perumahan baru. Kerajaan juga akan
meningkatkan pemantauan terhadap kemajuan penyedia perkhidmatan dalam
memperluaskan aplikasi jalur lebar.
Kerajaan juga mencadangkan:
Pertama: Penyedia kemudahan rangkaian sambungan terakhir diberi
Elaun Pelaburan 100 peratus ke atas perbelanjaan modal infrastruktur
bagi perkhidmatan jalur lebar sehingga 31 Disember 2010;
Kedua: Pengecualian duti import dan cukai jualan diberikan ke atas peralatan jalur lebar dan peralatan capaian pengguna; dan
Ketiga: Potongan cukai diberi kepada majikan yang menyediakan
manfaat komputer baru dan pembayaran langganan jalur lebar bagi
kakitangan. Manfaat yang diterima oleh kakitangan juga diberi
pengecualian cukai.
STRATEGI KETIGA : MENJAMIN KESEJAHTERAAN RAKYAT
Program Perumahan untuk Rakyat
Satu langkah penting bagi membantu golongan berpendapatan rendah
menikmati taraf hidup yang lebih selesa ialah dengan menyediakan
perumahan mampu milik yang mencukupi. Selaras dengan hasrat tersebut,
Kerajaan akan mempergiatkan lagi program pembinaan rumah kos rendah dan
kos sederhana.
Sejumlah 381 juta ringgit disediakan bagi melaksanakan perumahan rakyat
kos rendah. Dari jumlah tersebut, 191 juta ringgit diperuntukkan bagi
Program Perumahan Rakyat (PPR) Disewa dan 190 juta ringgit bagi PPR
Bersepadu. Pada masa ini, 12 ribu unit PPR Disewa dan 25 ribu unit PPR
Bersepadu sedang dalam peringkat pelaksanaan.
Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) akan juga mempergiatkan
pembinaan rumah bagi golongan berpendapatan rendah, seperti berikut:
Pertama: 6,000 unit di bawah Program Pemulihan Rumah Terbengkalai;
Kedua: 36,000 unit di bawah Program Perumahan Mampu Milik; dan
Ketiga: 4,000 unit di bawah Program Rumah Mesra Rakyat.
Kerajaan amat prihatin atas kesukaran golongan yang tidak mempunyai
pendapatan tetap, seperti petani dan pengusaha kecil, mendapatkan
pinjaman bank untuk membiayai pembelian rumah kos rendah dan sederhana.
Ini termasuk mereka yang mempunyai keupayaan untuk membayar balik
pinjaman perumahan tetapi tidak dapat menyediakan bukti pendapatan
mereka. Dengan itu, Kerajaan akan menyediakan dana sebagai jaminan
kepada bank untuk memberi pinjaman perumahan kepada golongan ini.
Sebagai permulaan, 50 juta ringgit telah disediakan sebagai jaminan
kepada Bank Simpanan Nasional dan Bank Islam Berhad, berkuatkuasa 1
Januari 2008. Kerajaan yakin kemudahan ini dapat membantu golongan
berpendapatan rendah yang tidak mempunyai pendapatan tetap untuk
memperoleh pinjaman perumahan.
Rumah merupakan aset terpenting. Lazimnya, nilai rumah bukan sahaja
terus meningkat dalam jangka panjang, bahkan rumah merupakan jaminan
kesejahteraan masa hadapan. Sebahagian besar daripada pendapatan
bulanan rakyat dibelanjakan untuk bayaran bulanan pinjaman perumahan.
Untuk meringankan beban ini, sukacita saya mengumumkan bahawa Kerajaan
akan membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan baki dalam Akaun 2 setiap
bulan untuk tujuan membantu pembayaran ansuran pinjaman perumahan.
Setiap pencarum dibenarkan menggunakan kemudahan ini untuk membiayai
pinjaman sebuah rumah, berkuatkuasa 1 Januari 2008.
Ini merupakan satu langkah penting yang akan memberi manfaat kepada
kesemua lima juta pencarum aktif KWSP. Skim ini akan membolehkan
pencarum memiliki rumah yang lebih selesa serta meringankan beban
kewangan mereka. Skim ini akan membolehkan sebanyak 9.6 bilion ringgit
setahun dikeluarkan oleh pencarum untuk membeli rumah.
Sebanyak 9,600 unit kuarters telah siap dibina di seluruh negara pada
tahun 2007 untuk menyediakan perumahan yang mencukupi bagi kakitangan
Kerajaan, manakala 13,000 unit lagi dijangka siap pada tahun 2008.
Kerajaan memperuntukkan sebanyak 887 juta ringgit pada tahun 2008 untuk
membina lebih banyak kuarters kakitangan awam di seluruh negara.
Pengangkutan Awam Yang Cekap
Kerajaan sedar bahawa sistem pengangkutan awam yang efisien dan selesa
adalah penting, khasnya untuk golongan berpendapatan rendah. Sistem
pengangkutan yang cekap juga perlu untuk mengatasi masalah kesesakan
jalan raya dan meningkatkan produktiviti. Untuk ini, Kerajaan telah pun
mengambil beberapa langkah untuk mewujudkan sistem pengangkutan awam
yang komprehensif, termasuk rel dan bas, khususnya di bandar-bandar
utama. Dalam tempoh empat tahun yang akan datang, sebanyak 12 bilion
ringgit akan dibelanjakan untuk meningkatkan pengangkutan awam di Kuala
Lumpur dan Pulau Pinang. Untuk mengurangkan kesesakan jalan raya di
Pulau Pinang, Lebuh Raya Lingkaran Luar Pulau Pinang (PORR) akan mula
dilaksanakan secara tender dalam tempoh terdekat. Bandar-bandar utama
lain akan turut disediakan dengan sistem pengangkutan awam yang selesa.
Pembangunan Seimbang
Satu agenda terpenting Kerajaan adalah untuk mempastikan pembangunan
tersebar luas ke seluruh negara. Ke arah ini, pembangunan koridor
ekonomi terus dipergiatkan, bermula dengan Wilayah Pembangunan Iskandar
dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara. Saya bersyukur kedua-dua rancangan
besar ini telah diterima baik oleh rakyat. Seterusnya, Wilayah Ekonomi
Pantai Timur serta Koridor Sabah dan Koridor Sarawak akan dilancarkan
dalam masa terdekat.
Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada usaha membangunkan negeri
Sabah dan Sarawak. Sejumlah empat bilion ringgit disediakan untuk
melaksanakan pelbagai projek bagi meningkatkan kualiti hidup di Sabah.
Di antara projek utama ialah pembinaan Jalan Kota Marudu-Ranau, Jalan
Lingkaran Utara Sandakan, menaik taraf Jalan Kota Belud-Langkon,
perkhidmatan kesihatan luar bandar, kemudahan hospital, perumahan kos
rendah, bekalan elektrik dan air serta menaik taraf jalan dan rel
kereta api.
Sejumlah empat bilion ringgit diperuntukkan bagi pelaksanaan projek
pembangunan di Sarawak. Antara projek utama adalah pembinaan Jalan Kota
Samarahan - Gumpeh, menaik taraf Jalan Kuching - Sibu, perkhidmatan
kesihatan luar bandar, Universiti Putra Malaysia, IKM Bintulu, projek
bekalan air dan elektrik serta projek pembetungan dan projek gantian
Jambatan Batang Lupar, Samarahan. Saya yakin projek-projek ini akan
meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat Sarawak.
Mulai tahun 2006, Kerajaan juga telah melaksanakan projek bekalan
elektrik bagi sekolah-sekolah di negeri Sarawak dengan peruntukan satu
bilion ringgit. Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada hujung tahun
ini. Projek yang sama akan dilaksanakan di Sabah pada tahun 2008.
Bagi mempergiatkan aktiviti pelancongan di Sabah dan Sarawak, sejumlah
200 juta ringgit disediakan di bawah Tabung Infrastruktur Pelancongan
yang diuruskan oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad. Keutamaan akan
diberi kepada projek pelancongan yang memanfaatkan kekayaan semula jadi
Sabah dan Sarawak.
Usaha akan terus diambil untuk meningkatkan pendapatan dan taraf hidup
Bumiputera, termasuk kaum Iban, Bidayuh, Melanau dan Melayu di Sarawak
serta kaum Kadazan-Dusun, , Melayu, Bajau dan Murut di Sabah. Untuk
tujuan ini, sebanyak 800 juta ringgit diperuntukkan bagi Sarawak dan
Sabah. Di antara langkah yang akan dilaksanakan, terutamanya bagi
golongan berpendapatan rendah, termasuk program perumahan, latihan
kemahiran dan keusahawanan, projek bekalan elektrik dan air, jalan
kampung dan pendidikan prasekolah.
Membasmi Kemiskinan Tegar
Kerajaan komited untuk menghapuskan kemiskinan tegar menjelang 2010.
Selaras dengan ini, sejumlah 214 juta ringgit diperuntukkan bagi
pelaksanaan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat untuk tujuan
pembasmian kemiskinan. Kerajaan akan menekankan, antara lain,
langkah-langkah untuk meningkatkan pendapatan isi rumah, memperkukuh
pembangunan modal insan serta memberi bantuan perumahan kepada golongan
miskin tegar. Di samping itu, sejumlah 117 juta ringgit diperuntukkan
bagi melaksanakan Program Pengurangan Kemiskinan dan Program Lonjakan
Mega. Program ini adalah pembangunan bersepadu untuk menjana pendapatan
penduduk di kawasan kurang maju dan terpencil.
Kemiskinan Bandar
Langkah akan terus diambil untuk mengatasi kemiskinan bandar, termasuk
pembinaan rumah kos rendah dengan bilangan yang mencukupi, penyediaan
peluang pekerjaan serta pembaikan kemudahan dan pengangkutan awam. Bagi
menggalakkan lebih ramai individu memulakan perniagaan sendiri,
pelbagai program keusahawanan dan latihan kemahiran telah disediakan.
Bagi tujuan ini, kemudahan sedia ada di kawasan bandar akan ditambah
untuk menyediakan latihan bagi pelajar yang tercicir untuk membolehkan
mereka mendapat pekerjaan, khasnya mereka yang tidak tamat persekolahan
di peringkat PMR dan SPM. Dalam konteks ini, Kerajaan akan menyediakan
peruntukan berjumlah 30 juta ringgit untuk NGO mengadakan program
latihan yang bersesuaian bagi golongan pelajar tercicir, serta
memperluaskan program Kolej Komuniti dan GiatMARA ke kawasan bandar.
Pembangunan Luar Bandar
Kerajaan bertekad untuk merapatkan jurang pembangunan antara kawasan
bandar dengan luar bandar. Sehubungan ini, pelbagai program akan
dilaksanakan untuk meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup
masyarakat desa melalui penyediaan prasarana asas, seperti jalan raya,
bekalan air dan elektrik. Di samping itu, usaha turut dilaksanakan
untuk menyediakan kemudahan ICT di luar bandar. Pada tahun 2008,
sebanyak 680 juta ringgit disediakan untuk pembinaan jalan luar bandar
dan jalan kampung, 462 juta ringgit untuk projek bekalan air dan
elektrik luar bandar, 70 juta ringgit untuk kemudahan sosial dan 15
juta ringgit bagi pendidikan ICT di luar bandar. Selain itu,
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memperuntukkan 45 juta
ringgit bagi melaksanakan projek SchoolNet untuk menyediakan
perkhidmatan internet di sekolah-sekolah.
Meningkatkan Taraf Hidup Masyarakat Orang Asli
Kerajaan komited untuk meningkatkan taraf kehidupan masyarakat Orang
Asli. Ke arah ini, 170 juta ringgit diperuntukkan kepada Jabatan Hal
Ehwal Orang Asli untuk melaksanakan pelbagai program dan projek.
Sejumlah 50 juta ringgit daripada peruntukan tersebut disediakan bagi
Program Bantuan Rumah dan kemudahan sosial di kawasan penempatan Orang
Asli.
Belia dan Sukan
Generasi muda harus dipupuk dengan kualiti kepimpinan dan sikap
positif. Untuk tujuan ini, program belia dan sukan adalah penting dalam
pembentukan peribadi. Sejumlah 984 juta ringgit diperuntukkan bagi
melaksanakan pelbagai program pembangunan belia dan sukan, termasuk
Program Rakan Muda. Sejumlah 677 juta ringgit disediakan bagi melatih
seramai 110 ribu remaja di bawah Program Latihan Khidmat Negara. Untuk
mempromosikan sukan di kalangan rakyat, sejumlah 217 juta ringgit
disediakan untuk membiayai projek berkaitan sukan. Ini termasuk menaik
taraf dan menyelenggarakan kompleks dan kemudahan sukan negeri serta
kompleks sukan komuniti. Sebagai tambahan, untuk menggalakkan gaya
hidup sihat di kalangan rakyat, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai
individu sehingga 300 ringgit setahun diberi ke atas pembelian
peralatan sukan dan senaman.
Wanita, Keluarga dan Masyarakat
Kekuatan Malaysia turut terbina atas penyertaan wanita dalam
pembangunan negara. Kebolehan dan keupayaan wanita telah digilap
sepenuhnya tanpa diskriminasi. Status wanita di Malaysia dapat
dibanggakan berbanding banyak negara. Wanita terus diberi peluang yang
sama untuk menjawat jawatan penting. Kerajaan akan mempastikan bahawa
bakat dan potensi wanita terus dimanfaatkan sepenuhnya.
Bagi tahun 2008, Kerajaan memperuntukkan 782 juta ringgit untuk
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Antara program
dan projek yang akan dilaksanakan merangkumi program pembangunan
kapasiti dan kemahiran wanita, khususnya ibu tunggal, serta usaha
mengimarah Rumah Nur.
Kerajaan akan menggalakkan kaum ibu untuk menyediakan perkhidmatan
penjagaan kanak-kanak di rumah. Ini akan memberi peluang pekerjaan bagi
suri rumah di samping membolehkan lebih ramai wanita untuk menyertai
pasaran kerja. Untuk tujuan ini, Kerajaan akan menyediakan peruntukan
permulaan sebanyak sepuluh juta ringgit bagi membolehkan NGO memberi
latihan kepada suri rumah mengenai kaedah penjagaan bayi dan
kanak-kanak.
Pendidikan awal adalah penting dalam usaha membentuk kanak-kanak
menjadi insan cemerlang. Untuk tujuan ini, program pendidikan
pra-sekolah akan diperluaskan dengan membina sebanyak 280 buah TABIKA
baru di seluruh negara dengan peruntukan 105 juta ringgit. Dengan ini,
bilangan TABIKA akan bertambah kepada lebih 7,600 buah bagi menampung
hampir 300 ribu kanak-kanak berumur di antara empat hingga enam tahun.
Sejumlah 270 juta ringgit disediakan bagi pembayaran elaun kakitangan
kontrak KEMAS dan 134 juta ringgit untuk makanan tambahan, geran per
kapita serta program peningkatan kelayakan akademik guru TASKA dan
TABIKA. Pada tahun 2008, tiga Pusat Anak Permata Negara akan
beroperasi, menjadikan jumlah keseluruhan 15 pusat bagi membantu dan
memudah cara proses pendidikan awal anak.
Untuk mengeratkan lagi hubungan kasih sayang antara suami dan isteri,
serta menjamin kesejahteraan keluarga, Kerajaan mencadangkan
pengecualian duti setem sepenuhnya diberi ke atas pindah milik hartanah
daripada suami kepada isteri. Dalam keadaan di mana isteri hendak
memindahkan hartanah kepada suami, pengecualian ini juga akan terpakai.
Menjamin Kebajikan Warga Emas
Ramai pesara bergantung kepada pendapatan daripada simpanan untuk
keperluan kewangan mereka apabila tidak lagi bekerja. Untuk membantu
golongan ini meningkatkan pulangan daripada simpanan mereka, bon
bernilai dua bilion ringgit akan diterbitkan oleh Bank Negara Malaysia
untuk dilanggan oleh warga emas yang berumur 55 tahun dan ke atas yang
tidak mempunyai pekerjaan tetap. Kadar maksimum bon yang boleh
dilanggan adalah 50 ribu ringgit seorang dengan tempoh matang selama
tiga tahun dengan kadar pulangan lima peratus. Penerbitan bon ini
adalah lanjutan kepada bon-bon yang pernah diterbitkan bernilai 3.5
bilion ringgit.
Bagi mengurangkan beban kewangan warga emas yang miskin dan
berkeperluan, Kerajaan akan menaikkan kadar bantuan mereka dari 200
ringgit sebulan kepada 300 ringgit sebulan berkuatkuasa 1 Januari 2008.
Jabatan Kebajikan Masyarakat mengendalikan sembilan buah Rumah Seri
Kenangan di seluruh negara yang menyediakan kemudahan tempat tinggal
untuk 2,000 warga emas. Di samping itu, terdapat 148 rumah warga emas
yang dikendalikan oleh NGO menempatkan 3,700 warga emas. Untuk menambah
kemudahan sedia ada, Kerajaan akan membantu NGO dengan memperuntukkan
geran sepadan sejumlah 25 juta ringgit.
Bantuan Kebajikan Untuk Orang Kurang Upaya
Kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan masyarakat OKU. Untuk membantu mereka, Kerajaan akan:
Pertama: Menaikkan kadar elaun bulanan pekerja OKU kepada 300 ringgit daripada 200 ringgit;
Kedua: Memberi bantuan khas sebanyak 300 ringgit sebulan kepada
penjaga OKU yang terlantar dan pesakit yang mengidap penyakit kronik;
dan
Ketiga: Membenarkan potongan cukai kepada majikan ke atas kos
pengubahsuaian tempat kerja bagi pekerja OKU untuk menggalakkan sektor
swasta mengambil lebih ramai pekerja OKU.
Golongan OKU adalah sebahagian daripada tenaga kerja yang perlu turut
digembleng supaya dapat sama-sama menyumbang kepada negara. Bagi
sesetengah pekerjaan seperti pekerja di plaza tol, pemasang di kilang,
telefonis dan beberapa jenis pekerjaan yang lain, golongan OKU
seharusnya diberikan keutamaan untuk menyertainya. Oleh itu, saya
menyeru pihak majikan agar memberi lebih banyak peluang kepada golongan
ini.
Kesihatan Kunci Kecemerlangan
Kerajaan akan terus melaksanakan langkah bagi mempastikan semua rakyat
dapat menikmati perkhidmatan kesihatan yang memuaskan. Untuk ini,
sejumlah 13 bilion ringgit diperuntukkan untuk meningkatkan kualiti
perkhidmatan hospital, memperoleh bekalan ubat dan menyediakan
kemudahan peralatan kesihatan. Antara projek utama yang akan
dilaksanakan pada tahun 2008 adalah pembinaan Kolej Sains Kesihatan
Bersekutu Ulu Kinta, Kolej Kejururawatan Kuala Pilah, Hospital Kluang,
Hospital Tampin, Hospital Rehabilitasi Cheras, serta Hospital Wanita
dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur.
Peruntukan bernilai 76 juta ringgit disediakan untuk memperkukuhkan
kawalan penyakit berjangkit, perkhidmatan di unit rawatan rapi dan
perkhidmatan dialisis di hospital kerajaan. Untuk mengatasi kekurangan
jururawat, Kerajaan akan melatih lebih ramai jururawat di pusat latihan
swasta.
Untuk mengekalkan Pegawai Pakar Perubatan Kerajaan di hospital atau
klinik Kerajaan, Skim Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh (FPP) akan
dilaksanakan di hospital. Pakar perubatan dibolehkan menerima
sebahagian daripada bayaran yang dikenakan ke atas pesakit FPP,
berkuatkuasa 1 Januari 2008.
Untuk menggalakkan sektor swasta melabur dalam kemudahan makmal
bertaraf antarabangsa bagi tujuan menguji peralatan perubatan, Kerajaan
mencadangkan galakan Taraf Perintis 100 peratus atau Elaun Cukai
Pelaburan sebanyak 60 peratus selama 5 tahun diberi kepada syarikat
yang melabur dalam aktiviti berkenaan.
Menyemai Tanggungjawab Sosial Korporat
Kerajaan akan terus memberi penekanan kepada pelaksanaan tanggungjawab
sosial korporat (CSR) oleh semua syarikat swasta, terutamanya syarikat
awam tersenarai (PLC). Kerajaan percaya bahawa syarikat yang terlibat
dalam kegiatan CSR akan menikmati manfaat daripada usaha murni ini
dalam jangka masa panjang, di samping memberi sumbangan ke arah
kesejahteraan masyarakat.
Dalam Bajet 2007, Kerajaan telah mengumumkan bahawa semua syarikat PLC
perlu menzahirkan aktiviti CSR sebagai sebahagian daripada laporan
kewangan tahunan syarikat. Mulai tahun kewangan 2008, penzahiran
penyata CSR perlu juga merangkumi komposisi guna tenaga syarikat dari
segi kaum dan gender, serta program untuk membangunkan vendor tempatan
dan Bumiputera. Kelebihan Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum
harus di manfaatkan oleh syarikat swasta dengan mengambil kakitangan
dari semua lapisan masyarakat.
Kerajaan sedar bahawa sektor swasta telah berjaya melaksanakan dengan
berkesan beberapa projek CSR untuk meningkatkan taraf hidup golongan
berpendapatan rendah. Dengan itu, Kerajaan ingin menyokong usaha ini
dengan menubuhkan satu dana CSR berjumlah 50 juta ringgit untuk
membiayai bersama projek CSR yang wajar diberi bantuan pembiayaan
Kerajaan. Ini termasuk membaik pulih rumah usang milik golongan miskin
dan mewujudkan peluang pekerjaan.
Kerajaan menghargai usaha syarikat swasta yang kerap menyediakan
kemudahan awam untuk memberi faedah besar kepada masyarakat setempat,
seperti pembinaan jejantas dan taman permainan. Dengan itu, Kerajaan
bercadang agar potongan cukai diberikan ke atas perbelanjaan bagi
pelaburan sedemikian, sungguhpun kemudahan ini juga memberi faedah
sampingan kepada syarikat berkenaan.
Program PINTAR telah dilancarkan bagi tujuan pengambilan sekolah angkat
oleh GLC. Semasa melancarkan Wilayah Ekonomi Koridor Utara di Perak,
saya telah mengumumkan program PINTAR akan diperluaskan ke seluruh
negara dengan melibatkan semua syarikat swasta. Bagi mempastikan
kejayaan pelaksanaannya, Kementerian Kewangan akan menubuhkan urus
setia tetap untuk menguruskan program PINTAR. Di antara inisiatif baru
PINTAR yang akan dilaksanakan pada tahun 2008 ialah sumbangan komputer
terpakai kepada sekolah angkat.
Keselamatan AwamM
Keselamatan awam adalah prasyarat untuk menjana pertumbuhan ekonomi dan
mempastikan kesejahteraan rakyat. Kerajaan komited untuk membanteras
jenayah. Sejumlah enam bilion ringgit diperuntukkan kepada Polis DiRaja
Malaysia (PDRM) bagi tahun 2008.
Kerajaan akan meningkatkan pengawasan polis, terutamanya di kawasan
berisiko tinggi berlaku jenayah. Selaras dengan ini, keupayaan dan
kecekapan PDRM akan dipertingkatkan dengan pengambilan 60,000 anggota
polis baru dalam tempoh lima tahun. Pegawai penyiasat dan penolong
pegawai penyiasat akan dibekalkan dengan tambahan 2,000 unit kereta
nasional dan 1,600 komputer. Manakala, 1,900 motosikal disediakan untuk
meningkatkan aktiviti pengawasan dan rondaan polis. Unit Bergerak
Forensik PDRM juga akan ditubuhkan di setiap kontinjen polis.
Kerajaan akan memasang lebih banyak CCTV yang dihubungkan ke pusat
kawalan Polis. Saya juga menyarankan supaya rakyat membantu polis dalam
membanteras jenayah dengan memberi maklumat yang perlu, dan mengambil
langkah untuk mengurangkan risiko berlakunya jenayah. Bagi menyokong
sektor swasta mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan mereka,
terutamanya di premis kilang, Elaun Modal Dipercepatkan yang boleh
dituntut dalam tempoh satu tahun akan diberi ke atas pembelian alat
kawalan dan keselamatan.
Memupuk Budaya Penyelenggaraan
Budaya penyelenggaraan yang baik perlu diamalkan sepenuhnya. Ini adalah
penting bagi mengurangkan kos dan meningkatkan kecekapan penggunaan
kemudahan awam. Untuk mencapai objektif ini, anjakan minda perlu di
semua peringkat Kerajaan serta sektor swasta. Kita hanya akan mendapat
manfaat sepenuhnya daripada kemudahan kelas pertama jika ia disertai
dengan budaya penyelenggaraan yang juga kelas pertama.
Kerajaan akan terus mempastikan peruntukan penyelenggaraan awam
digunakan dengan efisien dan efektif oleh agensi pelaksana. Peruntukan
bagi penyelenggaraan terus ditambah. Untuk tahun 2008, sejumlah 9.7
bilion ringgit diperuntukkan bagi pelbagai jenis penyelenggaraan. Untuk
mempastikan peruntukan ini dimanfaatkan sepenuhnya, Kementerian dan
agensi tidak akan dibenarkan untuk membuat pindah peruntukan untuk
membiayai aktiviti lain. Tindakan tegas akan diambil terhadap penjawat
awam yang mengabaikan kerja-kerja penyelenggaraan.
Penstrukturan Semula Industri Bekalan Air
Bekalan air bersih merupakan keperluan asas rakyat. Kerajaan telah
berjaya meningkatkan liputan bekalan air di dalam negara. Kini,
sebanyak 95 peratus rakyat mempunyai akses kepada bekalan air bersih,
meningkat dua kali ganda berbanding dengan 48 peratus pada tahun 1970.
Sungguhpun demikian, keperluan untuk menambah kapasiti bekalan air
bersih kian meningkat. Oleh itu, Kerajaan telah memulakan penstrukturan
semula industri perkhidmatan air supaya lebih bermutu dan mapan.
Penstrukturan semula ini melibatkan, antara lain, pengambilalihan
hutang kerajaan negeri berjumlah 7.6 bilion ringgit oleh Pengurusan
Aset Air Berhad, sebuah syarikat milik Kerajaan Persekutuan. Saya yakin
semua kerajaan negeri akan bekerjasama dalam usaha penstrukturan ini
untuk sama-sama mempastikan skim ini berjalan lancar.
Pemeliharaan dan Pemuliharaan Alam Sekitar
Kerajaan komited untuk mempastikan keseimbangan antara pembangunan
fizikal dan pemeliharaan alam sekitar. Fenomena perubahan iklim dan
kejadian pencemaran menjadi cabaran besar di peringkat global dan
serantau, baik bagi negara maju mahupun negara membangun. Perkara ini
harus ditangani dengan tegas dan berani oleh setiap sektor dan setiap
warga.
Sejumlah 1.1 bilion ringgit disediakan bagi projek tebatan banjir untuk
mengurangkan kejadian banjir di seluruh negara. Ini termasuk projek
tebatan banjir di Sungai Muda, Sungai Kelantan, Sungai Damansara,
Sungai Prai dan Projek Mengatasi Banjir Kuala Lumpur. Peruntukan
sebanyak 120 juta ringgit disediakan bagi program pemuliharaan dan
pembersihan serta pengindahan sungai di seluruh negara.
Untuk terus menggalakkan penggunaan tenaga secara cekap dan penggunaan
tenaga yang boleh diperbaharui, Kerajaan mencadangkan beberapa
penambahbaikan ketara dari segi insentif cukai yang disediakan,
termasuk Elaun Cukai Pelaburan ke atas perbelanjaan untuk penjimatan
tenaga dan penjanaan sendiri tenaga boleh diperbaharui.
Malaysia mempunyai potensi untuk mendapat manfaat daripada pelaburan
dalam projek pengurangan pelepasan gas “greenhouse” yang menyumbang
kepada pemanasan global. Di bawah Protokol Kyoto, syarikat yang berjaya
mengurangkan pelepasan gas “greenhouse” akan diberi sijil Certified
Emission Reduction (CER) yang boleh diperdagangkan. Bagi menggalakkan
syarikat menyertai projek ini, pendapatan yang diterima daripada
perdagangan sijil CER diberi pengecualian cukai.
Memperkaya Kebudayaan, Kesenian dan Warisan
Malaysia kaya dengan budaya, seni dan warisan yang harus dihayati semua
rakyat. Sejumlah 733 juta ringgit diperuntukkan bagi melaksanakan
program kebudayaan, kesenian dan warisan. Di antara program yang akan
dilaksanakan adalah untuk menaik taraf Perpustakaan Negara, program
latihan serta khidmat nasihat kesenian dan kebudayaan di bawah Skim
Penajaan Seni Budaya. Selain itu, peruntukan juga disediakan kepada
FINAS serta Muzium Tekstil Negara.
Peranan Penting Perkhidmatan Awam
Kerajaan menghargai peranan penting anggota perkhidmatan awam dan akan
terus memberi perhatian kepada prestasi dan kebajikan kakitangan awam.
Saya telah mengumumkan kenaikan gaji kakitangan awam sebanyak 7.5
peratus hingga 42 peratus di samping penambahan COLA. Ini melibatkan
tambahan perbelanjaan lapan bilion ringgit setahun. Saya yakin kenaikan
gaji dan elaun ini akan mendorong kakitangan awam untuk
mempertingkatkan produktiviti dan mutu kerja.
Dalam konteks globalisasi, usaha meningkatkan tahap prestasi
perkhidmatan awam adalah kritikal untuk mengekalkan daya saing negara.
Kerajaan telah berjaya dalam mentransformasikan GLC untuk mengamalkan
budaya prestasi tinggi, termasuk penggunaan sistem indeks prestasi
utama (KPI). Berikutan daripada kejayaan transformasi ini, sudah tiba
masanya amalan terbaik dan budaya prestasi tinggi diguna pakai untuk
meningkatkan lagi prestasi perkhidmatan awam.
Sebagai permulaan, Ketua Setiausaha semua kementerian dan Ketua
Perkhidmatan akan ditawarkan skim kontrak selama tiga tahun, serta
prestasi mereka akan diberi ganjaran berasaskan KPI. Kontrak ini
ditawarkan kepada pegawai Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik dan
pegawai perkhidmatan berkaitan yang sedang berkhidmat. Di samping
mempastikan perkhidmatan cemerlang, tempoh kontrak selama tiga tahun
akan memberi masa yang mencukupi untuk mereka merancang dan
melaksanakan pelan dan projek dengan efektif. Skim ini akan
berkuatkuasa mulai 1 Januari 2008. Saya yakin rakyat akan mendapat
manfaat hasil daripada peningkatan keberkesanan perkhidmatan Kerajaan
ini.
Untuk melicinkan urusan pentadbiran, Kerajaan telah melantik
pegawai-pegawai Gred 41 secara kontrak untuk mengisi kekosongan
jawatan. Adalah didapati bahawa ramai daripada pegawai ini menunjukkan
prestasi kerja yang tinggi dan sesuai untuk dilantik secara tetap. Oleh
itu, pegawai kontrak yang berprestasi tinggi yang diperakukan oleh
ketua jabatan akan diberi keutamaan untuk diserap ke dalam perkhidmatan
awam.
PERUNTUKAN BAJET 2008
Perbelanjaan Kerajaan akan terus ditumpukan kepada membina kapasiti
untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih mapan melalui penyediaan
infrastruktur, kemudahan awam, pendidikan, dan perkhidmatan sosial,
termasuk kesihatan serta kebajikan rakyat. Dengan strategi dan program
yang telah saya bentangkan, saya mencadangkan, sejumlah 176.9 bilion
ringgit diperuntukkan bagi Bajet 2008, iaitu 10.9 peratus lebih tinggi
berbanding peruntukan tahun 2007. Daripada jumlah ini, 128.8 bilion
ringgit adalah bagi Peruntukan Mengurus, manakala 48.1 bilion ringgit
disediakan bagi Peruntukan Pembangunan.
Di bawah Peruntukan Mengurus, 64 bilion ringgit atau 49.6 peratus
adalah bagi Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, 36.2 bilion ringgit
untuk Emolumen, 25.5 bilion ringgit bagi Perkhidmatan dan Bekalan, 2.1
bilion ringgit untuk Pembelian Aset dan 1.13 bilion ringgit untuk
perbelanjaan lain.
Bagi Peruntukan Pembangunan, bahagian terbesar 20.6 bilion ringgit
ialah untuk sektor ekonomi yang terdiri daripada sektor pertanian,
perindustrian dan infrastruktur. Sejumlah 15.6 bilion ringgit
diperuntukkan kepada sektor sosial iaitu pendidikan, kesihatan dan
perumahan. Sektor keselamatan menerima tujuh bilion ringgit sementara
pentadbiran 2.9 bilion ringgit serta Simpanan Luar Jangka sebanyak dua
bilion ringgit.
Matlamat Kerajaan adalah untuk mempastikan pertumbuhan ekonomi
berterusan dan pada masa yang sama mengurangkan defisit fiskal secara
progresif. Defisit fiskal Kerajaan Persekutuan telah dapat dikurangkan
dengan ketara daripada 5.5 peratus pada tahun 2000 kepada 3.3 peratus
daripada KDNK pada tahun 2006. Pada tahun 2007, defisit dijangka terus
dikurangkan kepada 3.2 peratus. Dalam hal ini, Kerajaan akan terus
meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam pungutan hasil, dan pada
masa yang sama, mempastikan pengurusan perbelanjaan secara berhemat.
Kedudukan fiskal Kerajaan Persekutuan diunjurkan lebih baik dengan
defisit dikurangkan lagi kepada paras 3.1 peratus pada tahun 2008.
PROSPEK EKONOMI
Persekitaran ekonomi dunia dan serantau dijangka lebih mencabar dan
tidak menentu. Walaupun demikian, dengan dasar dan strategi Bajet 2008,
Kerajaan yakin pertumbuhan ekonomi negara akan terus kukuh, dengan
kadar peningkatan di antara 6 hingga 6.5 peratus pada tahun 2008.
Pertumbuhan ini didorong oleh pelaburan dan penggunaan swasta serta
penggunaan awam. Pelaburan swasta dijangka berkembang 9.5 peratus
manakala penggunaan swasta pada kadar 7.9 peratus. Sementara itu,
pendapatan per kapita dijangka meningkat sebanyak 6.8 peratus kepada
23,864 ringgit dan dari segi pariti kuasa beli bersamaan 14,206 dolar
Amerika.
Sektor perkhidmatan dijangka berkembang 8.6 peratus, dipacu oleh
aktiviti pelancongan, pengangkutan, kewangan dan perbankan, hartanah,
pendidikan, kesihatan serta ICT. Pemulihan permintaan bagi keluaran
elektrik dan elektronik dijangka dapat memberi sumbangan kepada
pertumbuhan sektor pembuatan pada kadar 3.8 peratus. Sektor pembinaan,
termasuk pembangunan hartanah, akan berkembang lebih cergas pada kadar
6.3 peratus berikutan peningkatan aktiviti kejuruteraan awam, hasil
pelaksanaan projek Rancangan Malaysia Kesembilan. Sektor pertanian
dijangka meningkat 3.5 peratus berikutan penekanan yang diberi kepada
pengkomersilan sektor perladangan dan ternakan.
PENUTUP
Tuan Yang Di Pertua,
Sesungguhnya, kita harus bersyukur dengan pencapaian pembangunan
negara. Dengan usaha gigih dan permuafakatan pemimpin serta rakyat,
Malaysia telah berjaya melangkah jauh, mencapai pembangunan pesat dan
holistik dalam tempoh lima dekad. Pembangunan yang telah dicapai
merangkumi pembinaan kapasiti melalui pelaburan dalam infrastruktur
fizikal, pendidikan dan latihan serta kemudahan awam. Falsafah
pembangunan kita yang menekankan pertumbuhan dengan pengagihan telah
membolehkan semua rakyat bersama meraih manfaat daripada perkembangan
pesat ekonomi negara.
Dengan landasan kukuh yang telah kita bina, kita yakin dapat mencipta
kejayaan lebih besar ke arah mencapai Misi Nasional. Apabila Malaysia
mencapai Wawasan 2020 dan menjadi sebuah negara maju, ianya akan
merupakan satu lagi detik gemilang dalam sejarah pembangunan negara.
Marilah kita berdoa agar sentiasa diberi petunjuk dan hidayat oleh
Allah S.W.T. dalam terus membina negara dan bersama menikmati
kemakmuran di tahun-tahun akan datang.
Tuan Yang DiPertua,
Saya mohon mencadangkan.